Monday, April 26, 2010

Hati ini bersuara

25 April 2010 jam 1620..Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, insan kerdil ini duduk berseorangan di hadapan Wad C sambil memerhatikan gelagat manusia yang sentiasa sibuk bergerak ke sana ke mari. Seminggu genap ku berulang alik ke HSA atas urusan bapa mertua yang mengalami sakit jantung. Doktor mengesahkan 2 saluran darah ke jantung telah tersumbat. Mungkin ujian dari Tuhan untuk kami sekeluarga. Kami redha dan kami pasrah. Syukur bapa mertua masih mampu tersenyum bersama kami.

Sedang asyik memerhati gelagat manusia yang sentiasa berjalan di hadapan mata, gegendang telinga ini terpana dengan suara hilaian anak kecil dalam dukungan bapanya. Mata ini terus terumpu pada mereka berdua. Terdengar suara anak kecil memanggil "ayah...ayah..ayah..." sambil ketawa riang. Di julang tinggi anak kecil itu, hilaian tawa keseronokan sambil memanggil "ayah...ayah...ayah.." Ahhh....alangkah seronok dan indahnya saat itu. Dijulang lagi anak itu setinggi mungkin, sambil disambut hilaian tawa anak kecil itu, juga kedengaran sekali lagi anak itu memanggil "ayah...ayah...ayah..." entah dimana kekuatan aku, bagai disentap hati ini, terus teringat arwah RIZQ MUHAMMAD NAUFAL, tanpa memperdulikan orang disekeliling, terus mengalir laju airmata ini. Ya Tuhan..aku rindu arwah NAUFAL. Seandainya NAUFAL ada bersama ayah ketika ini, akan ayah buat macam tu pada NAUFAL, ayah boleh buat lebih tinggi dari orang tu buat. NAUFAL boleh ketawa lagi kuat dari budak tu ketawa. Ayah boleh buat NAUFAL lagi seronok dari yang orang lain rasa.


Tapi NAUFAL dah tak ada. NAUFAL dah jauh dari ayah. NAUFAL dah jumpa Tuhan dulu sebelum ayah. Ayah teringin NAUFAL panggil ayah...macam budak tu panggil ayah dia. Ayah rindu NAUFAL. Ayah terima pemergian NAUFAL. Ayah terima ketentuan Tuhan. Itulah yang telah Tuhan takdirkan untuk kita berdua. Kita tak dapat berjumpa di dunia tapi ayah percaya satu hari nanti pasti kita akan berjumpa di 'dunia' sana.


Ku sapu airmata yang mengalir, ku tarik nafas dalam-dalam. NAUFAL.....ayah kena pergi tengok atok sakit. Kesian atok..dah seminggu dia sakit. Impian dalam mimpi bersama NAUFAL tadi terasa sungguh indah walaupun hanya seketika. Ayah kena teruskan hidup tanpa anak ayah. Ayah kena jaga mama, nenek, atok selagi ada upaya. Walau anak ayah tak ada, namun percayalah...AYAH SAYANG ANAK AYAH.

AL-FATIHAH BUAT MU RIZQ MUHAMMAD NAUFAL...

Saturday, April 17, 2010

Alhamdulillah..diberi hidup sehari lagi.

Alhamdulillah, diberi peluang menghirup nafas dan diberi umur sehari lagi hidup di dunia ini... Semalam telah berlalu, perancangan hari ini sudah ada namun semua dalam ketentuan Tuhan samada berlaku atau tidak, itu Allah punya kuasa. Kita sebagai hamba yang hidup di dunia ini perlu meneruskan kehidupan dan mengisi segenap ruang hidup ini dengan penuh bererti dan pastinya setiap amal perbuatan kita akan dinilai. Kitalah pelakunya, dan sentiasa ingat akan ada makhluk lain yang sentiasa memerhatikan kita tidak kira walau di mana.
Rezeki hari ini masih tidak tahu bagaimana bentuknya, apa rasanya, dari mana puncanya, banyak sikitnya..namun kita harus berusaha mencari agar kita dapat meneruskan hidup ini dengan tabah. Tidak pernah luput dalam benak fikiran bahawa agar sentiasa mencari rezeki yang halal bagi mengisi perut sendiri dan keluarga, jangan sesekali lupa perintah itu. Tidak mahu ku menanggung dosa hingga akhirat bahawa aku telah memberi diri dan keluarga dari punca yang tidak diredhai.. sentiasa ingat itu...ITU PERINTAH TUHAN. Itu jelas dan pasti.

Masa yang diberikan tatap sama, dunia terus berputar mengikut arahan-Nya, selama mana ia bergerak mengikut pangsinya, selama itulah kita dibenarkan hidup di dunia. Jadi..gunakan masa yang ada dengan baik. Usah kata, masa tidak cukup, tapi katalah bahawa kita yang tidak bijak mengatur perjalanan hidup kita kerana dek tidak cukup masa. Masa adalah masa, yang berubah hanya perjalanan hidup kita. Berikan firasat kemanisan hidup dengan berbakti kepada insan, makhluk dan alam yang terbentang di muka bumi ini. Tanpa berbuat apa-apa, maka tiada apa-apa yang mampu kita banggakan. Usah bicara amal ibadah, pastinya tidak sehebat nabi dan sahabatnya, namun terus berbakti mengikut kemampuan kita sendiri. Sikit atau banyak itu pandangan manusia, tapi keikhlasan di dalam hati HANYA TUHAN YANG MAMPU MENILAI. Kerana akhiran itu, bukan antara manusia sesama manusia semata-manusia, tapi yang lebih penting adalah antara KITA DENGAN PENCIPTA.

Ya Tuhan...terimalah segala amal ku. Amin...

Friday, April 16, 2010

Hidup adalah perjalanan

Alhamdulillah...sepanjang hidup pelbagai cabaran yang di hadapi...lumrah hidup ada "pasang dan surutnya". Sekejap kita di atas sekejap di bawah, kadangkala suka, kadangkala duka...silih berganti tiap satu. Namun apa yang paling penting, bagaimana kita melaluinya, dan mengambil pengajaran daripada itu. Yang baik jadikan pengajaran dan panduan yang buruk dijadikan sempadan. Usah biarkan pengalaman lalu meracuni fikiran kita. Bina kekuatan baru, belajar dari pengalaman, sentiasa kembali kepada agama kerana AGAMA ITU BERSIFAT KUAT.
Sejarah Islam telah melahirkan ramai insan yang kuat dari sudut lahiriah dan juga batiniah. Baginda Rasulullah s.a.w salah seorang yang berpegang pada Islam serta mengamalkannya dan seterusnya menampakkan bahawa baginda adalah individu yang sangat mulia, berhemah, istimewa, gigih, sabar dan sangat ramah dengan masyarakat sekelilingnyahinggakan menjadi tempat rujukan, luahan, jururunding yang sangat hebat. Ini kerana Baginda mengikut AGAMA YANG KUAT iaitu ISLAM.
Sifat Islam adalah mengajar mengEsakan Allah, menolak tuhan yang lain selain Allah, memandu manusia ke arah hidup yang lebih sejahtera, harmoni, saling mengasihi, hormat-menghormati, sejahtera...dan meninggalkan segala amalan yang membawa kerosakan diri dan masyarakat, justeru tidak hairanlah sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar-benarnya, individu tersebut memiliki ciri insan yang sebenarnya. Jadi, cuba fahami, selami, amalkan Islam yang sebenarnya. Sentiasa berdamping dengan org2 yang alim ulama', berilmu dan yang sentiasa takut dengan Allah kerana orang yang takut dengan Allah adalah orang yang hampir dengan Tuhannya. Sentiasa jadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan, dan jangan sesekali kita mentafsirkan al-Quran dengan pemahaman kita sendiri. Jangan ada perasaan sombong dan bangga diri kerana itu adalah permulaan bagi kejahatan yang lain. Nabi sendiri tidak membangga-bangga diri walaupun Baginda sendiri bertaraf nabi, inikan kita manusia biasa.
Selamat berjuang untuk semua. Wassalam....