Monday, May 10, 2010

"Setiap yang bernyawa, pasti merasai mati.." Itulah janji Tuhan pada yang bernyawa. Tanggal hari Khamis 6 Mei 2010 jam 9.45 pagi menerima panggilan dari isteri tercinta, sayup dihujung talian disambut dengan suara yang tersekat-sekat diiringi suara tangisannya, pendek ayatnya..."Jantung ayah dah berhenti..." Allah..itu saja yang mampu terkeluar dari mulut ku.. Terus bergegas kemas barang-barang aku yang dalam pada itu aku sedang mengikuti bengkel tajaan Seksyen Peperiksaan JAJ. Bersiap dan terus menuju ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jam 4.40 pagi itu, adik ipar telefon, "Bang...doktor kata ayah dah tenat". Terus bersiap untuk melawat ayah, tapi macam mana nak bagitau mak dengan keadaan ayah yang sebegitu.. Bincang seketika dengan isteri, rupanya mak dah bangun kerana nak sedut oksigen disebabkan sakit athma mak datang semula...Dengan lembut isteri memberitahu pada mak, "Mak..ayah tak stabil, kita pergi hospital ye..." mak angguk saja. Dengan tiub oksigen yang masih melekap di mulut dan hidung mak. Mungkin naluri seorang isteri, airmata mak mengalir..mungkin dia dapat merasakan yang ayah memang sudah nazak, masakan dikala waktu sebegini pasti sesuatu telah terjadi pada ayah.

Jam 6.00 pagi kami sampai di hospital, terus menuju ke katil ayah..tiada siapa menunggu, aku dan isteri memerhatikan mesin jantung ayah, nampak sangat stabil, sudah 2 hari tiada bacaan jantung untuk ayah, namun pagi ni aku menghela nafas lega. Mesin bacaan itu seperti degupan jantung yang normal. Alhamdulillah, dalam hati ini berkata, insyallah ayah boleh sembuh.. selepas bersarapan aku kembali semula menyambung bengkel di Hotel Seri Malaysia Johor Bahru.

Namun, panggilan jam 9.45 pagi itu, sama sekali mengubah tanggapan hati yang ayah boleh sembuh. Ayah telah pergi meninggalkan kami. Pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi suara, senyum, gurauan, dan tingkah ayah buat kami. Yang ada hanya kenangan yang tersemat di dalam hati. Buat mak, maklah insan yang sangat terasa akan kehilangan ayah. Dari seorang uda dan dara, hingga ke anak cucu, hidup mereka sentiasa bersama. Buat aku, walaupun baru setahun 2 bulan 6 hari aku mengenali ayah, ayah yang ku kenali adalah seorang yang ramah, suka menasihati anak-anak, suka berjalan, suka makan, suka air batu, suka menyakat anak-anak dan seorang yang banyak pengalaman hidup. Namun aku percaya, dengan usia 63 tahun sudah banyak resam hidup yang telah ayah lalui.

Buat Almarhum ISMAIL BIN HJ ABU HASAN, kami sentiasa mendoakan semoga ayah dalam keadaan aman dan semoga roh ayah dicucuri rahmat dan akan ditempatkan bersama-sama dengan para solehin. Al-Fatihah....

No comments:

Post a Comment